Rekreasi Dan Pelancongan
Air Terjun Lata Damak
Lata Damak merupakan kawasan perkelahan yang sesuai untuk dikunjungi untuk menikmati ketenangan dan keindahan alam semulajadi. Terdapat air terjun yang mempersonakan dan aliran sungai yang tidak kuat dan memang selamat bagi kanak-kanak serta keluarga untuk mandi manda dan berehat di sekitar kawasan itu. Jarak dari Pekan Selama Perak hanya mengambil masa 20 minit sahaja untuk sampai. Selepas Balai Polis Sg Bayor terdapat Sekolah Rendah Kebangsaan Sg Bayor, masuk melalui jalan mini tar di sebelah sekolah itu lebih kurang 10 minit sahaja untuk sampai ke Lata Damak.
Air Terjun Lata Tebing Tinggi
Pekan Rantau Panjang terletak kira-kira 3km dari pekan Selama. Perjalanan dari Selama ke pekan ini mengambil masa kira-kira 5 minit. Lata Tebing Tinggi terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari pekan Rantau Panjang. Tempat perkelahan ini sering menjadi tumpuan ramai sama ada penduduk tempatan dan ada juga yang datang dari luar terutamanya pada hujung minggu. Terdapat juga para pelajar dan persatuan yang mengadakan perkhemahan di sini. Antara kemudahan yang disediakan di sini termasuklah tandas, bilik persalinan, gerai makanan, tempat berehat/makan, surau dan tempat letak kenderaan yang luas. Para pengunjung pasti akan terpesona dengan pemandangan alam sekeliling yang hijau,air terjun yang jernih dan sejuk.
Padang Sintetik
Padang sintetik atau padang rumput tiruan ini merupakan padang sintetik yang pertama di negeri Perak. Pada asalnya padang ini hanyalah padang rumput biasa untuk kegunaan masyarakat setempat untuk beriadah seperti bermain bola sepak. Idea menaik taraf padang ini diumumkan oleh ADUN Kubu Gajah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar pada tahun 2012. Prasarana baru ini siap dibina pada tahun 2014 dan menelan kos sebanyak RM1.5 juta. Majlis perasmian padang sintetik ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada bulan Ogos 2016. Menurut ADUN Kubu Gajah yang terkini, YB Ahmad Hasbullah Elias sebanyak RM500,000 telah dibelanjakan lagi untuk memasang lampu limpah di padang ini. Dengan adanya kemudahan lampu tersebut, masyarakat setempat boleh menggunkana padang tersebut di waktu siang ataupun malam.